
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul serta kerajaan negara itu atas bantuan segera yang diberikan kepada rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di beberapa wilayah terjejas.

Menurut beliau, tindakan pantas dan penuh keprihatinan itu mencerminkan kekuatan hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama antara Malaysia dan Thailand, selain menonjolkan semangat solidariti serantau yang amat dihargai.

Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia dan Thailand akan terus bekerjasama rapat demi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara sentiasa terpelihara. Katanya, Kerajaan MADANI sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap rakyat Malaysia yang masih terkandas dapat dibawa pulang dengan selamat ke tanah air.

Dalam kenyataan yang turut disiarkan dalam bahasa Inggeris, Perdana Menteri sekali lagi merakamkan penghargaan kepada kerajaan Thailand atas usaha membantu rakyat Malaysia, sambil menyeru agar kerjasama erat antara kedua-dua negara terus diperkukuh.
