YAN – Dua kanak-kanak lelaki maut dalam satu kemalangan tragis apabila basikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah kereta di Kampung Sedaka Tengah, pagi Sabtu. Kejadian berlaku sekitar jam 9.15 pagi, menurut laporan Sinar Harian.

Mangsa berusia 10 dan 11 tahun itu dipercayai menunggang satu basikal, dengan salah seorang berdiri di bahagian belakang, sebelum sebuah kereta dari arah belakang melanggar mereka secara tiba-tiba. Impak rempuhan menyebabkan kedua-dua kanak-kanak mengalami kecederaan serius dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang penduduk yang enggan dikenali memaklumkan bahawa kawasan berkenaan sering dilalui kenderaan dan kanak-kanak di kampung itu kerap menggunakan laluan tersebut untuk berbasikal.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintenden Mohamad Hamizi Abdullah, ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian. Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan sekitar 9.25 pagi memaklumkan mengenai kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah basikal di Jalan Sedaka Tengah.
“Dua kanak-kanak maut di lokasi kejadian namun perkembangan kes akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Kes kini dalam siasatan pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.


