397 PATI Indonesia Dihantar Pulang Melalui Operasi Pemindahan Tahanan di Sabah

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 397 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia melalui Program Pemindahan Tahanan Siri 21/2025 yang dijalankan semalam. Menurut Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, pemindahan melalui laut itu melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu.

Daripada jumlah keseluruhan, 286 adalah lelaki dewasa, 76 perempuan dewasa, 31 kanak-kanak bawah 12 tahun dan empat bayi berusia bawah dua tahun. Kesemua kanak-kanak dan bayi itu dibawa bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing. Mereka dihantar pulang melalui Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan menggunakan Feri Francis Express, Labuan Express dan Purnama Express, melibatkan tahanan berusia antara tiga hari hingga 78 tahun.

Setakat tahun 2025, sebanyak 2,251 warga Indonesia sudah dipulangkan, menjadikan keseluruhan 10,212 tahanan asing dari Sabah dihantar pulang ke negara asal. Semua individu terbabit telah menjalani hukuman mengikut undang-undang dan menerima Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah daripada KJRI.

JIM Sabah turut mengingatkan majikan supaya memastikan pekerja asing mempunyai dokumen sah bagi mengelakkan lambakan PATI di negeri itu. Tindakan tegas tanpa kompromi termasuk denda, penjara dan sebatan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI sebagaimana diperuntukkan dalam Akta Imigresen 1959/63.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top